Tugas atau tanggungjawab zirafah untuk melahirkan anaknya adalah sangat “TINGGI” kerana bayi zirafah lahir 10 kaki tinggi apabila “jatuh” daripada rahim ibu zirafah. Biasanya ia lahir dan jatuh terbaring di atas tanah, kakinya terlipat dibawah badannya. Kemudian, bayi zirafah akan cuba untuk menggoyangkan kepadanya bagi membersihkan cecair di mata dan telinganya.

    Dalam masa beberapa saat, ibu zirafah akan mula “memperkenalkan” dunia realiti kepada bayi zirafah tersebut. Realitinya ialah di lapangan hutan belantara ini, zirafah perlu bangkit dengan pantas dan belajar berlari dengan pantas kerana pastinya ada banyak spesis haiwan pemangsa seperti singa, harimau bintang, anjing liar yang akan suka menjadikan bayi zirafah sebagai daging santapan mereka.

   Apa yang ibu zirafah lakukan mungkin adalah “aksi ganas” bagi kita. Untuk memastikan yang anaknya akan bangun, bangkit dan berjalan. Ibu zirafah akan menendang kepala anaknya serta menendang untuk membuka kaki anaknya agar ia berada di dalam posisi yang memudahkan ia untuk bangun.

   Selepas itu, ibu zirafah akan menendang badan anaknya berulang-kali untuk merangsang anaknya untuk bangkit. Proses itu berlanjutan sehingga anaknya akan cuba untuk bangun dengan kaki yang bergoyang-goyang kerana masih belum kuat. Jika anaknya jatuh semula, ibunya akan menendang kuat lagi.

  Yang paling menariknya ialah, apabila anaknya telah berjaya untuk berdiri di atas kakinya yang menggigil, ibu zirafah akan menendang pula kaki anak zirafah tersebut supaya dia jatuh semula, kemudian ditendangnya untuk bangkit lagi. Dan begitulah proses jatuh, tendang, bangkit berlaku berulang-ulang kali sehingga anak zirafah semakin pantas bangkit dari jatuhnya. Setelah anak zirafah sudah mampu untuk berdiri dengan pantas, cuba teka apa ibu zirafah akan buat selanjutnya?

   Ibu zirafah akan menendang anaknya untuk berjalan dan kemudian berlari. Proses itu pun berlaku berulang-ulang kali supaya anaknya akan berlari dengan pantas pada usia muda.

   Kenapa ibu zirafah begitu “ganas” terhadap anaknya? Sebenarnya ia berlaku untuk kebaikan anaknya. Ibu zirafah tahu yang dia tidak akan mampu menyelamatkan anaknya sekiranya berlaku serangan daripada haiwan pemangsa, maka apa yang boleh dia lakukan adalah memberikan anaknya tekanan agar anaknya boleh berlari menyelamatkan dirinya nanti.

   Dalam hidup kita, kita kadang-kadang rasa yang kita “ditekan”, “dipukul”, kita gagal lagi dan lagi serta melalui banyak kesulitan. Tetapi pelajari daripada ibu zirafah dan anaknya. Sebenarnya semua proses kegagalan dan so-called “kekecewaan” tersebut adalah proses yang Tuhan yang Maha Pengasih serta Maha Penyayang ingin kita belajar untuk bangkit lebih hebat lagi selepas itu. Bukan untuk kita duduk mengeluh, menangisinya atau rasa bersalah sepanjang zaman. Kegagalan adalah proses pelajaran yang penting untuk kita bangkit dan buat lebih baik lagi dan proses latihan tersebut bila kita ulangi dan berlatih lagi dan lagi dan lagi dan lagi, maka akhirnya akan menjadikan kita PAKAR dalam bidang tersebut.

   Bak kata Thomas Edison apabila ditanya tentang kejayaan dia mencipta lampu setelah gagal beribu-ribu kali, Thomas menjawab, dia tidak gagal beribu-ribu kali, tetapi beliau menjumpai beribu-ribu cara lain untuk mencapai kejayaan.

   Saya ingin berkongsi kisah ini dengan anda minggu ini kerana hidup ini adalah untuk melihat siapakah yang terbaik di antara kita yang menjadinya terbaik dengan Tuhan, sesama manusia serta jadi yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kegagalan sebenarnya tidak pernah wujud selagi kita terus mencuba.

- Dr.Azizan Osman -

    
 

Comments (0)

Post a Comment